Oleh: Hafiz Nafiah
Industri Kreatif tenat..! Sudah lebih dua minggu sejak PKP 3.0 Total Lockdown dijalankan industri ini tidak menjana apa-apa pergerakan aliran urus niaga langsung, tiada pergerakan aliran tunai juga berlaku dalam tempoh ini. Lebih menyedihkan ramai sahabat-sahabat sudah terkapai-kapai mencari pelampung untuk bertaut demi kelangsungan hidup.
Adakah kita sanggup melihat sahabat-sahabat kita terus dihanyutkan oleh arus ? Sudah pasti tidak dan saya percaya masih ramai lagi sahabat-sahabat saya yang berkemampuan dan boleh membantu sekadar yang boleh namun sampai bila mereka akan menghulurkan bantuan sekiranya industri ini terus tidak dibenarkan beroperasi sehingga 4 bulan akan datang ?
Saya pasti lebih 70% warga kerja industri kreatif ini akan terus dilanda pelbagai masalah dan kesulitan, ini bukan suatu perkara yang main-main ye ini perkara yang serius serta perlukan perhatian pihak yang memegang taruh atau pihak yang menjaga industri kreatif ini untuk membentangkan secara segera plan pemulihan dan penyelamat industri untuk jangka pendek dan sederhana agar ia memberikan sedikit kelegaan kepada semua warga industri.
Dalam masa yang sama juga saya sangat berharap agar semua sahabat-sahabat tidak kira siapa anda asalkan anda berada didalam industri kreatif waimah daripada sektor mana atau apa jua cabang baik yang popular ataupum tidak untuk terus berganding bahu dan menggeluarkan kenyataan tegas serta mempertahankan industri yang selama ini memberikan kita sumber untuk kelangsungan hidup, dengan kenyataan-kenyataan ini ia akan menampakkan kita semua bersatu dalam satu isu yang melibatkan urusan industri kreatif itu sendiri.
Atau kita masih mahu menggambil ringan isu ini ? Atau kita masih mahu berpeluk tubuh ? Mungkin sebilangan daripada kita selesa dengan keadaan kita namun banyak lagi sahabat-sahabat kita yang semakin tenat. Ayuh kita bersatu dan bangkit bersama untuk sahabat-sahabat kita dan untuk diri kita yang mencari rezeki dalam industri kreatif ini. Jika kita bersatu dan menggunakan pengaruh media sosial yang kita ada InshaAllah dengan izin Allah akan ada sinar dihujung terowong dalam masa terdekat ini.
Saya ada 5 cadangan exit plan jangka masa pendek untuk sedikit kelegaan buat warga industri antaranya:
- Kenal pasti data-data warga kerja industri yang terkesan melalui persatuan-persatuan utama industri kreatif untuk tujuan bantuan
- Percepatkan pemberian vaksin kepada warga industri dengan memohon kepada pihak kerajaan supaya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dapat dibuka untuk warga industri di Finas
- Sumbangan barang keperluan asas secara konsisten sehingga industri kreatif dibenarkan kembali beroperasi atau wujudkan pusat pemberian sumbangan keperluan asas di Finas
- Sumbangan one off yang logik dan mencukupi kepada yang terkesan untuk melangsaikan apa yang tertunggak
- Lancarkan tabung khas industri kreatif untuk bantuan sokongan kepada yang terkesan
Saya rasa cadangan saya ini tidak keterlaluan dan inisiatif ini mampu dilaksanakan oleh pihak kementerian atau agensi yang bertanggungjawab menjaga industri kreatif, mungkin ada pihak yang akan menggecam saya namun saya bercakap bukan atas mempertahankan individu tetapi mempertahankan industri kreatif dan warganya. Untuk melaksanakan cadangan-cadangan saya ini semua pihak perlu meletakkan ego ditepi dan berganding bahu demi mencapai matlamat.
Biarlah saya menjadi lilin yang membakar diri sendiri untuk menyuarakan keresahan warga industri kerana yang penting bagi saya sahabat-sahabat saya dalam industri kreatif ini sekurang-kurangnya ada makanan diatas meja, ada susu untuk anak-anak, ada sedikit duit untuk bayar bil dan sewa rumah, adakah ini keterlaluan ? Kami bukan minta kelebihan kami cuma minta untuk terus bertahan dikala industri ini terus tidak dibenarkan beroperasi.
Siapa lagi akan bersuara untuk industri kreatif kalau bukan kita yang selama ini berada dalam industri ini, tidak mungkin orang lain akan bersuara untuk industri kita, biarkan dan abaikan mereka yang akan bercakap kita meminta perhatian atau kelebihan kerana apa yang kita buat ini adalah untuk warga industri kita yang mungkin mereka tidak faham situasi kita. Ya kita juga rakyat biasa dan melalui proses yang sama sekiranya inginkan bantuan namun kita punyai industri yang perlu kita pertahankan termasuk warga kerjanya.
Kesimpulannya, Manusia berhak untuk kecewa namun jangan sesekali kita berputus asa.
Hafiz Nafiah
17 Jun 2021
Kuala Lumpur