Pelan pemulihan industri kreatif perlu disegerakan memandangkan industri ini masih belum lagi nampak untuk dibenarkan beroperasi dalam masa terdekat, pelan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban pemain industridikala dibebankan pelbagai masalah, satu garis panduan dan protokol berkenaan dengan industri kreatif perlu dibuat pihak berwajib untuk menjadi panduan kepada seluruh warga industri kreatif menghadapi norma baharu dalam pembikinan karya pelbagai sektor dalam industri kreatif terutama sektor pembikinan filem dan drama.
Oleh: Hafiz Nafiah
Baru-baru ini Menteri Belia Dan Sukan telah mengambil inisiatif untuk membantu industri sukan yang secara dasarnya dibawah Kementerian beliau, ia secara tidak langsung dapat melegakan serba sedikit pemain industri sukan, namun berbeza dengan industri kreatif yang masih tiada sebarang pengumuman dibuat oleh Kementerian atau agensi yang bertanggungjawab terhadap industri kreatif ini, ia amat membimbangkan kami yang masih menunggu bilakah waktu kami boleh beroperasi semula.
Pihak berwajib perlu mengambil langkah-langkah drastik untuk memanggil kesemua pemegang taruh industri kreatif dalam keadaan segera untuk merangka pelan pemulihan industri kreatif terutamanya sektor penggambaran drama dan filem bagi merangka pelan ini secara bersama serta mewujudkan garis panduan dan protokol penggambaran sebagai rujukan untuk menempuh norma baharu dalam dunia penggambaran di Malaysia.
Dalam artikal ini juga saya ada lampirkan beberapa contoh garis panduan dan protocol yang dibuat oleh BBC, Hollywood dan Negara jiran kita Thailand (boleh google) untuk mereka kembali menjalani penggambaran di Negara mereka dalam keadaan norma baharu. Mereka telah merangka pelan atau garis panduan secara holistik untuk digunapakai oleh industri kreatif mereka. Ini bermaksud mereka telah bersedia untuk kembali menjalankan penggambaran dalam masa terdekat.
Garis panduan dan protocol ini penting bagi kelangsungan perjalanan industri kreatif dimasa akan datang dan ianya perlu dibuat secara menyeluruh termasuk pelan bantuan kepada yang terkesan akibat tidak dibenarkan bekerja, bantuan untuk syarikat-syarikat produksi serta persatuan-persatuan yang menjadi tulang belakang terhadap industri kreatif.
Saya juga ingin menyeru agar pihak Finas segera membuka kaunter atau hub food bank bagi warga kerja industri kreatif yang terputus bekalan makanan asas dalam keadaan yang amat mencabar ini, ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka dan keluarga. Ini adalah penting demi kelangsungan hidup disaat mereka tidak dibenarkan bekerja. Ia juga membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin turut sama menyumbang kepada food bank tersebut. Ia nya mungkin nampak kecil bagi kita tetapi besar bagi mereka yang amat memerlukan.
Selain itu, saya juga berharap agar pihak Finas dapat menyelaraskan gerakan untuk membantu mereka yang sangat terkesan sepanjang tempoh “Total Lockdown” PKP 3.0 ini, mereka menghadapi pelbagai masalah dan dugaan termasuk berkenaan dengan bayaran sewa rumah dan hutang yang perlu dijelaskan.
Saya tidak kisah jika dikecam oleh netizen kerana saya menjalankan tanggungjawab saya sebagai salah seorang yang terlibat secara langsung dalam industri kreatif di Malaysia ini, sekiranya saya tidak bersuara siapa lagi akan bersuara bagi pihak kami industri kreatif ? tidak mungkin industri lain akan bersuara untuk industri kreatif. Biarlah saya menjadi lilin yang membakar diri demi melihat perjalanan industri kreatif dapat beroperasi kembali sekaligus menyelamatkan puluhan ribu warga kerja industri yang berada dalam keadaan sangat susah.
Akhir kata, ayuh seluruh warga industri kreatif kita berganding bahu dan bersatu untuk menyuarakan masalah kita kepada Kerajaan pemerintah yang prihatin, supaya dilihat keadaan kami dalam industri kreatif ini yang sangat terkesan akibat PKP 3.0 “Total Lockdown” ini.
Hafiz Nafiah
23 Jun 2021
Kuala Lumpur
#HafizNafiah #IndustriKreatif #Malaysia #VillaHafiz #Seniman #Artis #PKP #Covid19 #SaveCreativeIndustry
ermm susah nak harapkan jika kerajaan tak gentel… depa dah sedap poket penoh perut anak bini,cucu,cicik kenyang mana mahuu nya ingatkan kesengsaraan rakyat ni.