DUNIA HAFIZ

SETIAUSAHA AGUNG SENIMAN BUAT LAPORAN POLIS ISU FILEM “MENTEGA TERBANG”

Share This Article

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) membuat laporan polis terhadap penerbit filem Mentega Terbang iaitu Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment atas dakwaan karya itu menghina Islam dengan kandungan berbaur hasutan.

Hafiz Nafiah Setiausaha Agung Seniman ketika memberikan sidang media di hadapan Balai Polis Dang Wangi

Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, petang tadi, menamakan penerbit, pengarah dan penulis cerita asal filem Mentega Terbang sebagai pihak terbabit dalam penghasilan filem kontroversi itu.

Setiausaha Agung SENIMAN, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, SENIMAN menggesa polis menyiasat kes penerbitan filem Mentega Terbang di bawah Akta Hasutan 1948.

“SENIMAN paling marah apabila filem ini mempermainkan agama kita. SENIMAN menganggap filem ini menghina dan menghasut rakyat di Malaysia bertukar agama.

“Perkara ini salah sama sekali kerana agama Islam dilindungi Perlembagaan. Banyak lagi tema lain yang boleh dijadikan kandungan filem. Soal agama dan perpaduan usah sesekali disentuh.

“Sehubungan itu, SENIMAN menggesa polis menyiasat kes ini dan ambil tindakan ke atas mereka yang terbabit dalam pembikinan Mentega Terbang di bawah Akta Hasutan 1948,” katanya ditemui selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi di sini, hari ini.

Mohd Hafiz turut mendesak pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengambil tindakan tegas ke atas penerbit filem Mentega Terbang.

“Untuk SKMM, kami tidak mahu dengar apa-apa alasan. JAKIM pula jangan sekadar buat siasatan tetapi kena ambil tindakan tegas,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, laporan polis itu akan diserahkan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anwar Nasarah.

“Salinan laporan polis juga akan dihantar kepada Kementerian Komunikasi dan Digital untuk makluman pihak terbabit,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, semakan SENIMAN mendapati Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment tidak mendaftar dengan mana-mana persatuan seni seperti diwajibkan.

“Apabila mereka tidak mendaftar dengan mana-mana persatuan, bermakna syarikat terbabit tidak mempunyai Sijil Perakuan Penggambaran (SPP). Perkara ini bertentangan dengan undang-undang dikuatkuasakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di bawah syarat Padu Citra.

“Saya harap FINAS akan ambil tindakan tegas terhadap produksi terbabit. SENIMAN akan bermesyuarat dan besar kemungkinan, syarikat terbabit akan disenarai hitam daripada mendaftar dengan kami untuk tempoh tertentu,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Agama SENIMAN, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, penerbit Mentega Terbang tidak membuat kajian terperinci hingga menimbulkan kekeliruan awam melalui paparan filem itu.

“Dalam konteks berkarya, saya fikir, biarpun mereka membuat rujukan al-Quran, namun, ia tidak dilakukan sepenuhnya.

“SENIMAN tidak akan berdiam diri jika tiada tindakan diambil ke atas pihak terbabit,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, filem Mentega Terbang arahan sutradara muda, Khairil Anwar, tular selepas dikecam mengandungi babak didakwa seakan-akan mempersendakan Islam dan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Filem berdurasi sejam 45 minit itu menjadi bualan hangat kerana mengandungi babak seorang bapa yang berfikiran terbuka apabila tidak menghalang anak memilih agama, di mana perbuatan itu bertentangan dengan Islam.

Selain itu dialog watak kanak-kanak perempuan bernama Aishah menjadi perdebatan kerana dianggap boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan penonton.

Kelmarin, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dilaporkan diarah memanggil pihak terbabit dengan penerbitan filem Mentega Terbang yang didakwa bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang memegang Mazhab Syafie.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dilaporkan berkata JAKIM juga sedang meneliti kandungan filem berkenaan dan mengemukakan laporan terperinci kepada SKMM untuk tindakan lanjut.

Credit: Berita Harian & Malaysia Post


Share This Article

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *